Tuesday, May 22, 2012

Kisah sahabat 6 : Zaid bin Harithah anak angkat Rasulullah

Asalnya Zaid dari Kaum Kalab, Bani Makhdum yang tinggal di sebelah utara kota Mekah. Ditakdirkan Allah, ketika dibawa ibunya menziarahi keluarga sebelah ibunya, perkampungan tersebut telah diserang oleh suku kaum Qais bin Jasar. Zaid RA telah diculik dan dibawa lari. Ibu bapanya bersedihan kerana kehilangan anak lelaki yang disayangi. Bapanya pandai bersyair dan keraplah kedengaran beliau bersyair, meluahkan rasa sedih beliau itu. 

Zaid dijual di pasar Ukaz dan dibeli oleh Saidatina Khadijah RA. Setelah berkahwin dengan Rasulullah SAW, Zaid dihadiahkan kepada Baginda. Setelah beberapa tahun, ayahnya mendapat tahu dari rombongan dari suku Kalab yang mengerjakan haji bahawa Zaid ada di Mekah. Maka bersegeralah bapanya dan pakciknya berangkat ke Mekah mencari Zaid untuk dibawa pulang. 



Bapa Zaid menceritakan perihal yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan sedia membayar ganti rugi kepada Bagnda. Baginda sedia memulangkan Zaid dengan percuma, sekiranya Zaid memilih untuk kembali ke pangkuan mereka. 


Jawapan dari Zaid ternyata mengejutkan ayah dan pakciknya. Dia ingin bersama Rasulullah. Mulanya ayahnya marah, "Apakah engkau memilih untuk menjadi hamba daripada hidup bersama keluargamu dalam keadaan penuh penghormatan?"


Lalu jawab Zaid, "Aku telah melihat pada diri orang ini (Rasulullah SAW) sesuatu yang baik dan tidak ada pada diri orang lain." 


Sebaik dengar jawapan Zaid, Rasulullah terus memeluk Zaid. Walaupun bapa dan pakciknya kecewa tapi mereka gembira kerana Zaid menjadi anak angkat kepada keluarga yang mulia.....


Bahkan Zaid dikenali dengan nama Zaid bin Muhammad sehinggalah perintah Allah turun melarang anak angkat dibinkan dengan bapa angkatnya. Zaid dilayan seperti anak sendiri. Dia pernah dijodohkan dengan Zainab binti Jahsyi dan kemudiannya bercerai. Rasulullah SAW kemudiannya berkahwin dengan Zainab dan kisah ini disebutkan dalam Al-Quran dan Surah Al-Ahzab 36-37. Hal ini membenarkan bekas isteri anak angkat dikahwini ayah angkatnya. 


Zaid kemudian dikahwinkan dengan Ummu Aiman dan dari perkahwinan itu lahirlah seorang anak lelaki yang kemudiannya diangkat oleh Rasulullah menjadi panglima perang di usia 18 tahun, Usamah bin Zaid. 


Dalam Perang Muktah, Zaid telah dikirim oleh Rasulullah dan dibantu dengan  Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Abi Rawahah. Zaid gugur syahid di usia 41 tahun. Panglima Khalid Al-Walid kemudian mengambil alih kepimpinan tentera Islam ketika itu dan berjaya berundur tanpa mampu dikejar oleh musuh. 


Baginda Rasulullah SAW menziarahi keluarga Zaid. Ketika puteri Zaid datang kepada Baginda untuk menangis, Rasulullah SAW ikut menangis teresak-esak kerana begitu sedih. Seorang sahabat, Saad bin Ubadah menegur Rasullah SAW kerana sebelum ini Baginda melarang umat Islam menangisi kematian secara berlebih-lebihan. Lalu dijawab Baginda, "Inilah rindu seorang kekasih kepada kekasihnya."

4 comments:

  1. salam alayka ya ayyuhannabiy..

    ReplyDelete
  2. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala aali Muhammad

    ReplyDelete
  3. saya kongsi share ni di blog sy. jemput lawat zttyndia.blogspot.com tq in advnce

    ReplyDelete